Thursday, December 4, 2014

Antara Cinta Dan Sahabat

Ketika berbicara tentang "Cinta", pasti saja hati menjadi berbunga-bunga. Seolah-olah sedang berdiri di tengah ladang yang penuh dengan mawar yang mekar dan harumnya tentu saja bisa menusuk ke sanubari. Saat itu bibir pasti mulai mengukir senyum dan wajah yang muram pantas saja bertukar menjadi bahagia.

Cinta itu begitu unik sekali. 
Cinta bisa mengubah malam yang gulita diterangi cahaya.  
Cinta tidak bisa dijemput dan tidak pula bisa dihalau.
Cinta hadir tanpa kita tahu saat dan ketikanya. 
Cinta berputik dan hanya kita sedari saat umbinya 
mulai menyelinap keseluruh ruang fikir.
Cinta bisa menjadi madu dan bisa pula menjadi racun serta bisa juga menjadi penawar.
Cinta sebenarnya terlalu payah untuk diungkapkan dengan tutur bicara...
kerana kilauan mata lebih pantas bercerita tentang cinta.
Saat cinta mendampingi, tiada lagi yang lain yang lebih diperlukan.
Saat cinta itu pergi, dilarikan bersama jiwa yang ada.
Saat cinta itu hilang, terasa seluruh jasad jua melayang.
Saat cinta itu pulang, derita seabad terhapus sesaat.


Menjejaki hari yang datang dan pergi tidaklah mudah untuk terus melangkah. Perjalanan yang panjang dan tidak bisa diramal, tentu saja menjanjikan dugaan demi dugaan. 
Masakan bisa kaki ini melangkah sendirian kerana sepi itu terlalu menyakitkan. 

Namun keriuhan teman-teman yang seiringan masih belum bisa mendamaikan hati yang sendirian. Barangkali kerana terlalu banyak pertembungan dan pertelagahan pendapat. Manusia memang begitu. Lebih suka bertelagah dari berdamai. Sedang hati ini terlalu mulus untuk dibiarkan terjebak dengan kekasaran manusia yang begitu.  Aku capek untuk bertikam lidah. Aku lelah untuk mengia atau menafikan bicara dan telagah.

Apa ertinya teman jika tidak bisa bertaraf sahabat?
Namun masih wujudkah SAHABAT di tengah-tengah kerakusan penghuni dunia?

Aku tidak pernah mandambakannya kerana aku yakin ia bukan milikku. Mungkin kerana setiap teman yang datang dan pergi dalam dalam cerita hidupku, bagai sesapa bayu di pipi. Lantas aku tidak pernah bermimpi untuk itu.

Ketika segalanya begitu hambar, Yang Maha Pemurah telah menukar coretan diari hidupku dengan warna warni dari kehadiran seorang teman. 

Sifatnya bersahaja menerima kurang lebih diriku.
Andai lebih pada dirinya, pasti dikongsi bersama.
Andai kurang pada diriku pasti saja dipenuhi olehnya.
Susah aku, bersusah-susah jualah dia.
Sedih aku, dihulurkan bahunya menjadi tadahan air mataku.

Tuturnya rapi penuh erti, mengajar aku mencari dan berfikir dengan hati.
Walau penuh luka dan kepayahan, di bibirnya masih mekar senyuman mengharum.
Tiada pernah mengalah pada getir langkah yang payah. 
Pada kasarnya, ada santun yang tertib.
Pada tegasnya, ada kasih yang merimbun.
Jiwanya besar dan membesarkan setiap impianku yang kerdil.
Hatinya tabah dan ketabahannya menjadi tulang belakang setiap langkahku sendeng.
 
Terlalu banyak yang aku peroleh dari dia dan diari hidupnya.
Terlalu banyak yang aku pelajari dari pantas akalnya berfikir.
Terlalu banyak yang aku kenali dari mulus lakunya yang tidak pernah diungkit.
Terlalu banyak yang aku insafi dari tangan yang tidak pernah lokek memberi.  
Terlalu banyak yang ingin ku coretkan tentang dia sehingga tiada kata yang terungkap 
yang mampu menggambarkan syukurku pada Ilahi miliki dia bernama sahabat.

Dia mengajar aku...tentang satu
Antara cinta dan sahabat...tiada yang membeza.
Cinta itu damai, sahabat itu mendamaikan.
Cinta itu indah, sahabat itu mengindahkan.
Cinta itu bahagia, sahabat itu membahagiakan.
Cinta bisa putus dan terlerai...namun cintakan persahabatan pasti tiada noktahnya.
Kerana ia terjalin pada ikatan nadi yang sentiasa berdenyut.
Kerana jalinan kasih tersimpul, tanpa perlu sumpah dan janji menjadi maharnya.

Mengenalinya, ku kenali diriku.
Mengenalinya, ku fahami mahuku.
Mengenalinya, ku sedari citaku.
Mengenalinya, ku kenali erti rindu.

Mengenalinya, ku kenali Cinta Allah.
Mengenalinya, menjadikan doaku penuh syahdu...

...terima kasih sahabatku atas segala pengorbananmu... 
Moga cinta Allah sentiasa penuh di hatimu...aameen.

Tuesday, December 2, 2014

SAHABAT...


Apa yang boleh diertikan sebagai sahabat??? 

Soalan itu terpacul di bibir lecture aku sewaktu kelas tutor pengantar falsafah. Seorang demi seorang beliau bertanyakan rakan sekuliahku tentang makna sahabat.. Masing-masing memberikan jawapan yang mereka rasakan apa itu sahabat. 

Salah seorang dari mereka memberikan jawapan dan jawapan itu aku rasakan sangat bersetuju. Dia mengatakan bahawa sahabat itu adalah seseorang yang sangat rapat dengan kita. Walau dalam keadan susah dan senang sentiasa bersama. Mudah untuk beri teguran dan menerima teguran antara satu sama lain... Tidak berat hati untuk berkongsi apa saja kecuali isteri...(hehehe..masih sempat lagi dia bergurau). 

Ya..bagiku juga berpendapat sedemikan. Malah lebih dari itu..=)...andai anda temui sahabat sejati, tentu anda akan sentiasa merinduinya walau dalam apa keadaan sekalipun. Anda akan sentiasa mengingatinya terutama dalam doa... siapa antara kita yang mampu untuk mendoakan dan mengingati seseorang setiap kali seusai solatnya... amat jarang bukan. Namun andai kita punya teman sejati, kita takkan mampu untuk tidak mendoakannya. 

Seseorang yang apabila ada dalam doanya, menunjukkan dia adalah istimewa dalam hatinya. Penerimaannya sebagai seorang sahabat bukan sekadar kawan biasa malah, lebih dari itu. 

Di benakku, terus terbayang akan dia yang bernama sahabat.. Sahabat yang paling memahami, mengerti dan sanggup bersusah senang bersama.

Andai aku nukilkan pengorbanannya terhadapku sepanjang persahabatan antara kami, pasti mata ini berkaca dan mulai gugur titisan-titisan itu..  Bukan kerana sedih, tapi kerana kesanggupan dan penerimaannya terhadap diri ini yang banyak kekurangannya, banyak kerenahnya dan perlukan kesabaran. 

Semoga antara aku dan dia bersahabat hingga ke Syurga...ameen ya Rabbal 'alameen.




Thursday, October 9, 2014

Falsafah Islam yang Terkemuka



al-razi-1

AL-RAZI 

(865M - 925 M)



Nama penuh beliau, Abu Bakar Muhammad ibn Zakaria ibn Yahya al-Razi. Beliau dilahirkan di Rayy, Tehran pada 1 Syaaban 251 H / 865 M (Hasyimsyah 1999:24). Dikenali sebagai The Arabic Galen dikalangan ilmuan Barat (Ahmad Sunawari 2008:222) kerana kepakarannya dalam ilmu perubatan. 

         Ahli falsafah yang dikenali sebagai Rhazes di dunia Barat ini mendalami ilmu falsafah daripada al-Balkhi dan ilmu perubatan daripada Ali ibn Rabban al-Thabari (Hasyimsyah 1999:24). Beliau pernah dilantik sebagai ketua Hospital Muqtadari selama enam tahun dan seterusnya di Hospital Baghdad. Beliau meninggal dunia pada 5 Syaaban 313 H / 27 Oktober 925 M di Rayy akibat penyakit katarak (Ahmad Sunawari 2008:222-223).

        Al-Razi menghasilkan 200 karya dalam pelbagai bidang. Antara karya falsafah beliau ialah al-Thibb al-Ruhani, al-Sirah al-Falsafiyyah, Maqalah fi ma ba'da al-Tabi'iyyah dan al-Rasail al-Falsafiyyat (Ahmad Sunawari 2008:223). 

        Karya perubatan beliau pula ialah al-Hawi yang diterjemahkan ke bahasa Latin (1279 M) dengan judul Contines (Sudarsono 2010:54). Karya ini mencakupi pelbagai aspek ilmu perubatan (Mahmood Zuhdi 1945:33). Selain itu, kitab al-Mansur Liber al-Mansuris dan al-Judar wa al-Hisbah (analisis perubatan mengenai penyakit cacar dan campak) (Ahmad Sunawari 2008:223).

          Falsafah al-Razi terkenal dengan lima prinsip qadim iaitu: al-Barry Ta'ala (Allah), an-Nafs al-Kulliyyat (Akal Sejagat), al-Hayula al-Ula (Bentuk Utama atau Logos), al-Makan al-Mutlak (Tempat Mutlak) dan al-Zaman al-Mutlak (Zaman Mutlak) (Ahmad Sunawari 2008:223). Al-Razi seorang rasionalis yang hanya percaya pada kekuatan akal dan tidak percaya pada wahyu dan nabi. Beliau berkeyakinan bahawa manusia mampu untuk mengetahui apa yang baik dan buruk serta mengenal Allah (Harun 1978:23-24). Tentang kenabian, beliau mendakwa semua orang mempunyai taraf kecerdikan hampir sama, maka manusia tidak memerlukan orang tertentu (nabi) untuk membimbing mereka (Ahmad Sunawari 2008:223).


          Walaupun al-Razi berpendapat sedemikian bukan bermakna beliau seorang atheis kerana beliau masih menyakini adanya Tuhan Yang Maha Pencipta. Tentang penafian beliau pada wahyu dan nabi, pada pendapat penulis, kita tidak boleh menzindikkan beliau selama mana tiada bukti yang jelas tentang kezindikannya. Oleh itu, beliau lebih tepat dikenali sebagai seorang rasionalis murni.






RUJUKAN

Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah Falsafah. Kuala Lumpur:
              Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Harun Nasution.1978. Falsafat dan Mistisisme Dalam Islam. IAIN:                
             Bulan Bintang.

Hasyimsyah Nasution. 1999. Filsafat Islam. Jakarta: Gaya Media
             Pratama Jakarta.

Mahmood Zuhdi Ab. Majid. 2003. Tokoh-tokoh Kesarjanaan Sains
             Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sudarsono. 2010. Filsafat Islam. Jakarta: PT Rineka Cipta.
              

Saturday, September 13, 2014

Mutiara Kata : Imam as Syafie

Perbanyakkan menyebut Allah 
daripada menyebut makhluk. 
Perbanyakkan menyebut akhirat 
daripada menyebut dunia.