Thursday, October 9, 2014

Falsafah Islam yang Terkemuka



al-razi-1

AL-RAZI 

(865M - 925 M)



Nama penuh beliau, Abu Bakar Muhammad ibn Zakaria ibn Yahya al-Razi. Beliau dilahirkan di Rayy, Tehran pada 1 Syaaban 251 H / 865 M (Hasyimsyah 1999:24). Dikenali sebagai The Arabic Galen dikalangan ilmuan Barat (Ahmad Sunawari 2008:222) kerana kepakarannya dalam ilmu perubatan. 

         Ahli falsafah yang dikenali sebagai Rhazes di dunia Barat ini mendalami ilmu falsafah daripada al-Balkhi dan ilmu perubatan daripada Ali ibn Rabban al-Thabari (Hasyimsyah 1999:24). Beliau pernah dilantik sebagai ketua Hospital Muqtadari selama enam tahun dan seterusnya di Hospital Baghdad. Beliau meninggal dunia pada 5 Syaaban 313 H / 27 Oktober 925 M di Rayy akibat penyakit katarak (Ahmad Sunawari 2008:222-223).

        Al-Razi menghasilkan 200 karya dalam pelbagai bidang. Antara karya falsafah beliau ialah al-Thibb al-Ruhani, al-Sirah al-Falsafiyyah, Maqalah fi ma ba'da al-Tabi'iyyah dan al-Rasail al-Falsafiyyat (Ahmad Sunawari 2008:223). 

        Karya perubatan beliau pula ialah al-Hawi yang diterjemahkan ke bahasa Latin (1279 M) dengan judul Contines (Sudarsono 2010:54). Karya ini mencakupi pelbagai aspek ilmu perubatan (Mahmood Zuhdi 1945:33). Selain itu, kitab al-Mansur Liber al-Mansuris dan al-Judar wa al-Hisbah (analisis perubatan mengenai penyakit cacar dan campak) (Ahmad Sunawari 2008:223).

          Falsafah al-Razi terkenal dengan lima prinsip qadim iaitu: al-Barry Ta'ala (Allah), an-Nafs al-Kulliyyat (Akal Sejagat), al-Hayula al-Ula (Bentuk Utama atau Logos), al-Makan al-Mutlak (Tempat Mutlak) dan al-Zaman al-Mutlak (Zaman Mutlak) (Ahmad Sunawari 2008:223). Al-Razi seorang rasionalis yang hanya percaya pada kekuatan akal dan tidak percaya pada wahyu dan nabi. Beliau berkeyakinan bahawa manusia mampu untuk mengetahui apa yang baik dan buruk serta mengenal Allah (Harun 1978:23-24). Tentang kenabian, beliau mendakwa semua orang mempunyai taraf kecerdikan hampir sama, maka manusia tidak memerlukan orang tertentu (nabi) untuk membimbing mereka (Ahmad Sunawari 2008:223).


          Walaupun al-Razi berpendapat sedemikian bukan bermakna beliau seorang atheis kerana beliau masih menyakini adanya Tuhan Yang Maha Pencipta. Tentang penafian beliau pada wahyu dan nabi, pada pendapat penulis, kita tidak boleh menzindikkan beliau selama mana tiada bukti yang jelas tentang kezindikannya. Oleh itu, beliau lebih tepat dikenali sebagai seorang rasionalis murni.






RUJUKAN

Ahmad Sunawari Long. 2008. Sejarah Falsafah. Kuala Lumpur:
              Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Harun Nasution.1978. Falsafat dan Mistisisme Dalam Islam. IAIN:                
             Bulan Bintang.

Hasyimsyah Nasution. 1999. Filsafat Islam. Jakarta: Gaya Media
             Pratama Jakarta.

Mahmood Zuhdi Ab. Majid. 2003. Tokoh-tokoh Kesarjanaan Sains
             Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sudarsono. 2010. Filsafat Islam. Jakarta: PT Rineka Cipta.